INFO MASJID

Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan, Tumpat, dibina atas dasar taqwa dan bagi menzahirkan kasih sayang KDYMM Sultan Muhammad V kepada ayahandanya Sultan Ismail Petra. Al-Ismaili adalah diambil sempena nama Sultan Ismail Petra mengabadikan nama baginda dalam kalangan rakyat. Masjid ini dibina di atas tanah rizab masjid seluas 1.112 ekar.
Masjid pecah tanah pembinaan Masjid Al-Ismaili telah disempurnakan oleh KDYMM Sultan Muhammad V pada 22 Disember 2011. Dalam titah Baginda menyatakan agar masjid ini mempunyai ciri-ciri mesra jemaah dan jimat tenaga. Masjid ini juga turut dilengkapi sebuah dewan seberguna, klinik wakaf, ruang mesra kanak-kanak, pejabat pusat pembangunan sosial dan rumah kakitangan masjid. Masjid ini dapat menampung seramai 1500 orang jemmah pada satu-satu masa.
Kedudukan Masjid Al-Ismaili terletak di lokasi strategik, iaiatu di persimpangan utama jalan yang menghubungkan jajahan Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas, yang juga berhampiran sekolah, kedai-kedai, stesen minyak dan pasaraya.
Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan, Tumpat mula beroperasi apabila KDYMM Sultan Muhammad V bersama YTM Tengku Mahkota Kelantan telah mengampuni perkenan berangkat mencemar Duli bagi menunaikan Solat Jumaat di masjid ini pada 27 Ramadhan 1435H Bersamaan 25 Julai 2014M.
Seni bina masjid Al-Ismaili yang dizahirkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V berteraskan TEMA 5, iaitu Islam terbina di atas rukun Islam yang lima demi menjaga lima maqosid as-syariyyah , yang terdidik melalui lima hukum bagi panduan lima pancaindera manusia untuk menakhodai diri di dunia menuju akhirat.
Justeru itu masjid ini dibina dengan reka bentuk lima menara, lima anak tangga dan dipagari oleh enam kubah yang melambangkan rukun Iman yang enam.
Hiasan dinding juga lima, begitu juga tapak kubah dan kolah pancur berbucu lima menepati lima pelan strategik transformasi ummah yang telah dicetuskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad V pada 1 Muharram 1432H bersamaan 6 Disember 2010M. Faqiihan, Amiinan, Rahiman, Ilman, dan Salaman.